HACKATHON DATA TERBUKA 2017 (48 JAM)

MELEBAR HORIZON KREATIVITI, MENGGARAP ASPIRASI INOVASI

Cyberjaya, 11 September 2017- Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri terus komited untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan Kerajaan Digital sehingga ke peringkat global dengan sekali lagi menganjurkan Program Hackathon 2017. Penganjuran ini juga merupakan manifestasi awam swasta yang dicapai bersama-sama hasil kerjasama rakan strategik iaitu Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Telekom Malaysia, GITN Sdn. Bhd,. Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan myVIC Sdn. Bhd.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Joseph Entulu Anak Belaun, Program Hackathon 2017 merupakan suatu platform penciptaan atau pembangunan aplikasi atau produk data yang kreatif dan berinovatif dengan menggunakan data terbuka yang boleh diperoleh daripada portal data.gov.my yang kini menyediakan sebanyak 2,303 set data.

“Inisiatif data terbuka ini juga merupakan satu inisiatif ke arah menggalakkan penciptaan produk yang berinovasi berasaskan data terbuka di kalangan komuniti perniagaan dan juga individu. Ciptaan produk baharu secara tidak langsung dapat meningkatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan menjana ekonomi dengan mewujudkan kemudahan perkhidmatan baharu demi untuk kemudahan rakyat,” kata YB Datuk Joseph Entulu ketika merasmikan Majlis Perasmian Hackathon Data Terbuka dan Hackathon Aplikasi Mudah Alih 2017 di Auditorium MaGIC, hari ini.

Turut hadir sama di Majlis tersebut ialah YBrs Dr. Suhazimah Binti Dzazali, Timbalan Ketua Pengarah (ICT) MAMPU; Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Pegawai Maklumat Sektor Awam dan Peneraju Data Terbuka Sektor Awam hadir memeriahkan Majlis.

Program Hackathon Data Terbuka pada tahun 2017 terbahagi kepada tiga (3) kategori penyertaan iaitu kategori Sektor Awam selama 48 jam, kategori Industri dan Universiti Awam &  Swasta selama 48 jam serta kategori Pelajar Sekolah Menengah selama 30 jam. Program Hackathon Aplikasi Mudah Alih 2017 pula berlangsung selama 24 jam dan terbuka kepada penjawat awam sahaja. Program Hackathon Data Terbuka tahun 2017 ini mencipta sedikit kelainan dengan memfokus kepada golongan rentan (vulnerables group). Program ini menjadi satu testimoni  keperihatian pihak penganjur bagi memastikan penyampaian perkhidmatan adalah berpaksikan rakyat.

Bagi menghargai penglibatan para peserta, program ini telah menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM60,500.00 bagi Hackathon Data Terbuka 2017 dan RM12,500.00 bagi Hackathon Aplikasi Mudah Alih 2017.

“Dengan adanya program seperti ini idea-idea inovasi dari pelbagai sektor seperti industri, pendidikan, kewangan dan lain-lain bersama-sama kerajaan dapat digabungkan bagi mengarusperdanakan pelaksanaan data terbuka dan aplikasi mudah alih untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam. Data berkaitan Kerajaan yang dibuka kepada rakyat adalah data yang sememangnya boleh dikongsi kepada umum dan bukan bersifat data peribadi atau diklasifikasikan sebagai data sulit dan maklumat ini boleh memberi pelbagai manfaat kepada orang ramai untuk pelbagai tujuan dan kepentingan tertentu dalam kehidupan masing-masing,” tambah YBrs Dr. Suhazimah Binti Dzazali, Timbalan Ketua Pengarah (ICT) MAMPU ketika ditemuramah oleh pemberita.

Liputan Media

Bernama 11 September 2017 Bahasa Melayu

Bernama 11 September 2017 Bahasa Inggeris

The Sun 11 September 2017

Big Community

Galeri Gambar

Flickr MAMPU