KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Pengguna perlu sentiasa menggamalkan etika ketika mengakses dan menterjemah data ke dalam maklumat untuk manfaat bersama, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya pekembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi telah membawa kepada tercetusnya Revolusi Data, di mana data digunakan secara sangat meluas, terperinci, dalam skala yang besar dan pantas, sekaligus menjadikan data satu kuasa baharu untuk mendapatkan pengetahuan.

Dalam hal ini, katanya, pengguna perlu mempunyai kebijaksanaan untuk mencernakan, dan pada masa yang sama, bersikap adil dan terbuka dalam menterjemahkan data yang diperoleh.

"Hari ini, data tidak lagi statik sifatnya, tetapi berbentuk mudah berubah dan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial, teknologi, alam sekitar, perundangan dan sebagainya.

""Revolusi data telah memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan kita kerana ia mampu mentransformasi kehidupan manusia, cara kita berfikir dan cara bekerja," katanya semasa merasmikan Program Big Splash Data Terbuka yang dianjurkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) di Universiti Malaya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan dasar data terbuka kerajaan juga telah membawa kepada peningkatan ketelusan perkhidmatan kerajaan.

"Melalui dasar ini, kita juga menyediakan platform kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi kerajaan, manakala sebagai saluran untuk kerajaan bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat," kata beliau.

Katanya data rasmi kerajaan boleh diakses melalui data.gov.my dan setakat 3 petang Rabu (24 Mei), sejumlah 1,982 set data yang 100 peratus 'machine readable' telah boleh diakses di portal tersebut.

"Data yang dikongsi ini bukanlah bersifat peribadi atau diklasifikasikan sebagai data sulit," katanya, dan menambah, bahawa beliau yakin sasaran 7,000 set data dalam portal Data Terbuka menjelang 2020 akan tercapai.

Beliau berkata Malaysia juga menyasarkan untuk menduduki tangga ke-30 dalam Open Data Barometer menjelang tahun 2020, daripada tangga ke-51 pada tahun 2015.

-- BERNAMA

Source : http://www.bernama.com/bernama/v8/newsindex.php?id=1359256