PUTRAJAYA (Bernama) -- Penganjuran Hari Data Terbuka 2017 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Universiti Malaya Khamis lalu bertujuan mewujudkan kesedaran dan keterujaan terhadap potensi data terbuka kepada kerajaan dan rakyat.

 

Data terbuka merujuk kepada sumber bahan-bahan untuk maklumat dan pengetahuan yang boleh digunakan secara bebas, boleh dikongsi dan digunakan semula oleh rakyat, agensi kerajaan dan swasta untuk pelbagai tujuan.

 

"Data terbuka ini bukan sahaja berkaitan dengan keupayaan kerajaan memberikan perkhidmatan kepada rakyat, tetapi ia juga berkaitan dengan keupayaan kerajaan menepati apa yang rakyat mahukan daripada kerajaan.

 

"Dengan adanya inisiatif data terbuka kerajaan ini, hubungan terus antara kerajaan dan rakyat bukan lagi sebuah retorika kerana ia sudah menjadi kenyataan," kata Timbalan Ketua Pengarah ICT MAMPU, Dr Suhazimah Dzazali kepada Bernama.

 

Pada tahun 2016, Malaysia berada pada tangga ke-53 daripada 115 negara yang dinilai dalam ranking Barometer Data Terbuka (ODB), satu kedudukan yang memberangsangkan untuk inisiatif yang dimulakan pada tahun 2014 ini.

 

PORTAL DATA TERBUKA SEKTOR AWAM (DTSA)

 

Portal Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) data.gov.my telah dibangunkan dan diaktifkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada tahun 2014.

 

Pembangunan platform rasmi ini adalah bagi memudahkan set data terbuka kerajaan diakses oleh rakyat, agensi kerajaan mahupun swasta secara berpusat.

 

"Portal ini menjadi satu platform di mana sesiapa sahaja di dunia ini boleh memilih data yang mereka perlukan atau memohon set data yang mereka kehendaki.

 

"Terdapat 18 kategori set data sektor awam yang boleh diakses melalui portal ini dan secara keseluruhan setakat ini kita sudah mempunyai sebanyak 1,986 set data dan jumlah ini bertambah dari semasa ke semasa," kata Suhazimah.

 

Di dalam ranking ODB, United Kingdom berada di tempat teratas, daripada 115 negara dan ia mempunyai sebanyak 49,000 set data.

 

MENCIPTA RUANG DAN PELUANG

 

Malaysia masih baru dalam pelaksanaan inisiatif data terbuka ini berbanding dengan negara-negara lain, namun tidak dapat dinafikan yang inisiatif ini memberikan manfaat yang banyak buat kerajaan dan rakyat.

 

Perkongsian data terbuka dalam kalangan agensi kerajaan, rakyat, sektor swasta, akademia dan orang awam membuktikan keterbukaan dan ketelusan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan.

 

Ia turut mencipta ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam penciptaan produk-produk baharu yang mampu menambah baik dan menambah nilai kehidupan.

 

"Pelaksanaan data terbuka di Malaysia masih baru dan kami masih mengumpul data empirikal untuk melihat impaknya.

 

"Tetapi untuk negara-negara lain yang sudah lama melaksanakannya seperti United Kingdom, tindakan yang diambil oleh kementerian kesihatan negara itu dalam menyiarkan maklumat tentang ubat-ubatan yang digunakan oleh para pesakit telah berjaya mencipta peluang-peluang baharu untuk industri farmaseutikalnya yang mendatangkan pendapatan yang lumayan," tambah Suhazimah.

 

KERJASAMA BERTERUSAN

 

Menurut Suhazimah, MAMPU akan meneruskan strategi kolaborasi mampan dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun bagi perkongsian set data.

 

Dalam usaha untuk melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking ODB, MAMPU juga berusaha meningkatkan bilangan dan kualiti set data yang dimuat naik di portal DTSA, selain menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi mendapatkan penglibatan industri dalam memperkayakan penggunaan set data dan aplikasi terbuka.

 

Pelaksanaan "Open Data Big Splash" oleh kementerian dan agensi kerajaan juga menjadi agenda utama kerana ia berfungsi sebagai penggalak dan pencetus idea kepada inovasi yang melibatkan penggunaan data terbuka yang diperolehi dari portal DTSA.

 

"Data terbuka merupakan bukti asakan strategi MAMPU iaitu kerjasama strategik yang mampan dan bersifat inklusif.

 

"Diharapkan penganjuran Hari Data Terbuka dan pelancaran Open Data Big Splash ini dapat menghasilkan kesan 'ripple," kata Suhazimah.

 

 

 

Cabaran Inovasi Data Terbuka atau lebih dikenali dengan nama 'Hackathon' merupakan satu usaha MAMPU untuk merealisasikan perkhidmatan digital sektor awam.

 

Diadakan dua kali setahun, program ini terdiri daripada tiga kategori iaitu kategori pengamal data terbuka iaitu penjawat awam dan pemain industri, universiti awam dan sekolah menengah.

 

Hackathon memberi peluang kepada para peserta menguji bakat dan kreativiti sehingga terciptanya satu produk data yang inovatif, analitis data atau aplikasi mudah alih yang dapat diperluaskan untuk kegunaan rakyat.

 

"Pada cabaran 2016, para peserta berkampung selama 48 jam, bermula dari kosong sehingga mereka berjaya menyiapkan satu prototaip aplikasi yang menggunakan data terbuka kerajaan dengan penuh bersemangat," kata Suhazimah.

 

Program Hackathon ini dilihat berjaya dalam pembangunan aplikasi yang menggunakan data terbuka dan portal DTSA yang bakal digunakan oleh bukan sahaja sektor awam malahan sektor swasta juga dalam mempertingkat penyampaian perkhidmatan.

 

Selain itu, ia juga menjadi pencetus dan kelahiran idea-idea kreatif dan inovatif dalam penciptaan aplikasi yang memudahkan bagi kegunaan rakyat.

 

Menurut Suhazimah, kerjasama MAMPU dengan MDEC membolehkan para pemenang cabaran inovasi data terbuka yang berjaya menghasilkan prototaip aplikasi yang baik memperolehi dana daripada MDEC untuk dibangunkan ke tahap seterusnya.

 

--BERNAMA

 

Source : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1360214