Pertemuan antara MAMPU yang diketuai oleh  YBrs. Dr. Suhazimah binti Dzazali, Timbalan Ketua Pengarah (ICT), MAMPU dan Encik Kuek Ser Kuang Keng, wartawan Malaysiakini bertempat di MAMPU, Putrajaya pada 25 Oktober 2018 berkaitan artikel Malaysiakini yang ditulis oleh beliau bertajuk “Open Data Should Be Part Of Harapan's Freedom Of Information Reform”.  Pertemuan yang berlangsung selama satu (1) jam membincangkan perkara-perkara berkaitan set Data Terbuka yang diterbitkan di dalam Portal Data Terbuka, cabaran-cabaran yang dihadapi dan cadangan tambah baik pelaksanaan Data Terbuka.   Selain daripada itu, perkongsian maklumat mengenai keperluan dan kehendak komuniti/masyarakat terhadap Data Terbuka bagi manfaat bersama dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi digital berpacukan data.

 

MAMPU telah menerangkan latar belakang inisiatif Data Terbuka yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2014. Satu platform perkongsian data telah dibangunkan untuk mewujudkan suatu ekosistem Data Terbuka yang  menghubungkan agensi pemilik Data Terbuka dengan pengguna Data Terbuka yang terdiri dari agensi kerajaan, akademia, industri dan rakyat untuk memanfaatkan Data Terbuka yang diterbitkan dalam Portal Data Terbuka, www.data.gov.my bagi menghasilkan pelbagai inovasi melalui pembangunan aplikasi/produk data, penyelidikan atau penciptaan data baharu hasil daripada gabungan set Data Terbuka. Pelbagai program telah dilaksanakan untuk menyemarakkan agenda Data Terbuka seperti Program Hackathon Data Terbuka yang diadakan setiap tahun bermula pada tahun 2015.

 

Semasa pertemuan ini, En Kuek Ser Kuang Keng banyak berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai wartawan data bermula di Amerika Syarikat.  Pelbagai contoh aplikasi yang dibangunkan menggunakan sumber Data Terbuka di luar negara seperti di London sangat memberi impak yang tinggi kepada kesejahteraan komuniti di London. Beliau juga turut melahirkan kesudian untuk berkongsi pengalaman bersama MAMPU dalam menerbitkan set data yang lebih berkualiti, menumpukan perhatian pada set data yang bernilai tinggi (high impact) dan sangat diperlukan oleh komuniti. MAMPU amat berbesar hati  dengan kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pihak wartawan dalam melaksanakan agenda Data Terbuka untuk menyokong usaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah Kerajaan Terbuka.