Kualiti Data

20 May 2017


Kawalan kualiti set data dalam portal Data Terbuka dilaksanakan mengikut garis panduan 10 prinsip data terbuka yang terdapat dalam Pekeliling AM Bil.1 2015 Pelaksanaan Data Terbuka Sektor Awam dan 8 ciri kualiti perlaksanaan data terbuka

Sepuluh (10) prinsip data terbuka adalah seperti berikut:

a. Data Lengkap (Complete Data)

Set data hendaklah lengkap dan menggambarkan keseluruhan data yang direkodkan dan diterbitkan bagi kegunaan orang awam.

b. Sumber Utama (Primary Source)

Set data yang diterbitkan hendaklah daripada sumber utama. Set data ini termasuklah maklumat asal set data, perincian pengumpulan data dan sumber asal yang mengandungi rekod pengumpulan data tersebut.

c. Terkini (Timely)

Set data hendaklah yang terbaharu, sentiasa dikemas kini dan perlu diterbitkan segera selepas pengumpulan dan disusun. Pengemaskinian data hendaklah secara masa nyata dan ini akan mengoptimumkan penggunaan data.

d. Kebolehcapaian (Accessible)

Set data hendaklah boleh dicapai pada portal Data Terbuka atau dalam laman web/portal agensi.

e. Kebolehbacaan Mesin (Machine readable)

Set data hendaklah boleh dibaca dan diproses oleh mesin atau perisian yang menyediakan format standard terbuka. Data yang boleh dibaca oleh mesin merujuk kepada data yang boleh diakses dan diproses terus oleh komputer.

f. Tanpa Diskriminasi (Non-discriminatory)

Akses “tanpa diskriminasi” kepada data bermaksud sesiapa sahaja dibenarkan mengakses data pada bila-bila masa tanpa perlu memperkenalkan diri atau mengemukakan sebarang justifikasi keperluan data tersebut.

g.  Penggunaan Standard Terbuka (Use of Open Standard)

Penggunaan standard terbuka bagi format penyimpanan data akan membolehkan data digunakan secara meluas. Sebagai contoh, fail Microsoft Excel (.xls) ialah format helaian lejar yang diguna pakai secara meluas dan memerlukan kos lesen perisian. Format alternatif juga boleh digunakan secara percuma tanpa memerlukan lesen perisian dapat mengurangkan kos penggunaan.

h. Pengarkiban Data (Data Permanent)

Data harus tersedia dan kekal untuk digunakan secara berterusan. Data yang dikemas kini, ditukar atau dihapus perlu mempunyai petunjuk bahawa pindaan telah dilaksanakan secara kawalan versi dan pengarkiban.

i. Hak Penggunaan (Licensing)

Hak penggunaan data oleh pengguna hendaklah dinyatakan dalam terma penggunaan data terbuka seperti di Lampiran B: Terma Penggunaan Data Terbuka Kerajaan.

j. Kos Penggunaan (Usage Costs)

Penggunaan set data bagi portal data terbuka tidak dikenakan sebarang caj. Ia bertujuan untuk menggalakkan penggunaan set data.

Semua set data portal Data Terbuka telah memenuhi 8 ciri kualiti perlaksanaan data terbuka:

1. Kebolehbacaan mesin (di mana data boleh terus dibaca untuk diproses atau dibuat analitis data)

2. Mudah dimuat turun secara pukal

3. Bebas untuk digunakan tanpa caj

4. Data diterbitkan secara perlesenan terbuka yang membenarkan semua pihak menggunakannya. Kebanyakan set data di dalam portal ini di bawah lesen Creative Common Attribution.

5. Kelestarian perlaksanaan program data terbuka

6. Mudah ditemui atau diakses

7. Data boleh di hyperlink kepada portal berkaitan

8. Data kerap dikemaskini (terkini)