Dataset meliputi 16 kategori

20 May 2017


Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk berkongsi  data yang terdapat di agensi-agensi Kerajaan dengan orang ramai secara percuma.   Mesyuarat Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) pada 28 Mac 2014 telah memutuskan supaya semua agensi bersedia dan mengambil tindakan mengenal pasti inisiatif set data bagi pelaksanaan data terbuka dalam setiap bidang perkhidmatan agensi.

Data Kerajaan yang dibuka kepada orang ramai adalah data-data yang sememangnya boleh dikongsi kepada umum dan bukan bersifat data peribadi atau diklasifikasikan sebagai sulit atau rahsia. Data tersebut boleh diakses melalui Portal Data Terbuka di alamat data.gov.my.  Konsep perkongsian data oleh Kerajaan bukanlah sesuatu yang baru, cuma ia telah diberi nafas baru selaras dengan perkembangan teknologi semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Perkongsian data tersebut dilaksanakan melalui inisiatif data terbuka Kerajaan, di mana definisi data terbuka (open data) yang telah diterima pakai di peringkat global adalah "data yang boleh digunakan secara bebas, boleh digunakan semula dan diedar semula oleh sesiapa sahaja”.

Berdasarkan amalan baik di peringkat global, sepuluh (10) Prinsip Data Terbuka telah diguna pakai dalam pelaksanaan data terbuka adalah seperti berikut:

1. Data Lengkap (Complete Data) – set data hendaklah lengkap dan menggambarkan keseluruhan data yang direkodkan.

2. Sumber Utama (Primary Source) – set data yang diterbitkan hendaklah dari sumber utama.

3. Terkini (Timely) – set data hendaklah yang terkini dan sentiasa dikemas kini.

4. Kebolehcapaian (Accessible) – set data hendaklah boleh dicapai pada portal data terbuka atau dalam laman web/portal agensi.

5. Kebolehbacaan Mesin (Machine readable) – set data hendaklah boleh dibaca dan diproses oleh mesin atau perisian.

6. Tanpa Diskriminasi (Non-discriminatory) – sesiapa sahaja dibenarkan mengakses data pada bila-bila masa tanpa perlu memperkenalkan diri atau mengemukakan justifikasi keperluan.

7. Penggunaan Standard Terbuka (Use of Open Standard) – penggunaan standard terbuka bagi format penyimpanan data.

8. Pengarkiban Data (Data Permanent) – data harus tersedia dan kekal untuk digunakan secara berterusan.

9. Hak Penggunaan (Licensing) – dinyatakan dalam terma penggunaan data terbuka.

10. Kos Penggunaan (Usage Costs) – penggunaan set data tidak dikenakan sebarang caj.

Portal data terbuka Kerajaan Malaysia, data.gov.my telah dilancarkan pada bulan Ogos 2014 bagi memudahkan ianya dicapai secara berpusat oleh orang ramai dari sumber yang rasmi.  Sehingga kini, set data yang diterbitkan di dalam portal data.gov.my adalah berbentuk data mentah (raw data) dan berkualiti.  Set data yang diterbitkan adalah 100% kebolehbacaan mesin (machine readable) seperti format excel, csv, json. Bilangan set data yang telah diterbitkan dari 2014 sehingga kini adalah seperti terpapar di halaman utama portal data terbuka.

Set data yang di terbitkan di Portal Data Terbuka dikategorikan mengikut kluster. Terdapat 18 kluster set data iaitu:

i.    Kesihatan

ii.   Jenayah

iii.   Bajet

iv.  Pendaftaran Syarikat

v.   Pemetaan

vi.  Pendidikan

vii.  Pilihanraya Kebangsaan

viii. Alam Sekitar

ix.   Perdagangan Antarabangsa

x.    Bancian

xi.   Pengangkutan

xii.  Perundangan

xiii. Perbelanjaan Kerajaan

xiv.  Statistik Kebangsaan

xv.   Kontrak Awam

xvi.  Pemilikan Tanah

xvii. Pertanian

xviii. Lain-lain

Sebanyak 1988 set data telah berlandaskan definisi terbuka yang digariskan oleh opendefinition.org versi 2.1 yang bermaksud set data ini berlesen terbuka, dalam format yang terbuka dan boleh dibaca oleh mesin, boleh dimuat turun secara serentak, terkini, boleh didapat secara umum dan boleh didapati secara percuma. Selain itu, kami telah menyediakan semua data untuk Barometer Open Data dengan 3 ciri tambahan yang baru untuk kualiti data terbuka seperti berikut:

1. Kemampanan (program data terbuka yang mampan adalah program yang mempunyai sumber yang cukup untuk menerbitkan data sekerapnya dalam beberapa tempoh atau meningkatkan kualiti dan kuantiti)

2. Mudah Ditemui (data mudah ditemui bermaksud pengguna mudah mencari set data dalam talian tanpa perlu untuk mencari beberapa laman web untuk sumber bahan)

3. Dikaitkan (data dikaitkan sekiranya ia mengandungi pautan atau rujukan data yang berkaitan di dalam laman web lain, dan pengenalan disediakan untuk orang lain ke pautan tersebut)

Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri selaku agensi peneraju Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sektor Awam telah melaksanakan pelbagai program untuk menjayakan inisiatif  Data Terbuka yang bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai inisiatif data terbuka,  menyediakan platform perkongsian Data Terbuka dan mempromosi inisiatif ini. Berbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan oleh Kerajaan dengan matlamat   supaya inisiatif data terbuka  ini mendapat sambutan dari pembekal data dan pengguna dengan lebih efektif. Di antara aktiviti tersebut adalah seperti berikut:

i. Penambahbaikan portal data.gov.my telah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi ciri-ciri mengikut amalan baik di peringkat global dan portal baharu tersebut pada bulan Mei 2016. Portal baharu ini mempunyai pelbagai ciri-ciri terkini termasuk kemudahan untuk orang awam membuat permohonan data baharu.

ii. Pengumpulan set data dari pelbagai agensi Kerajaan dengan sasaran sebanyak 7,000 set data pada akhir tahun 2020.

iii. Melantik seramai 61 Peneraju Data Terbuka (Champions) dari pelbagai agensi Kerajaan.  Peneraju  bertanggungjawab  sebagai pakar rujuk untuk memberi khidmat nasihat mengenai pelaksanaan inisiatif data terbuka di agensi masing-masing. 

iv. Mengeluarkan pekeliling dan garis panduan pelaksanaan Data Terbuka bagi menjelaskan prinsip data terbuka, pelaksanaan data terbuka dan tadbir urus untuk panduan agensi sektor awam dalam pelaksanaan perkongsian data bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah, cepat dan telus.

v. Pelaksanaan beberapa program libat urus dengan agensi-agensi Kerajaan, komuniti bisnes, peneraju data terbuka bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti set data. 

vi. Penganjuran program pembangunan aplikasi berasaskan data terbuka iaitu hackathon yang telah diadakan pada tahun 2015 dan 2016. Program yang secara berterusan ini adalah bagi membangunkan  aplikasi atau use case menggunakan set data yang didapati dari Portal Data Terbuka. 

vii. Mengadakan program kolaboratif pada tahun 2016 dengan pakar-pakar data terbuka dari luar negara seperti Open Data Institute, United Kingdom dan Bank Dunia . Program ini bertujuan untuk mendapatkan khidmat nasihat di dalam  pelaksanaan data terbuka di Malaysia dengan lebih berkesan dan berdaya maju.

MAMPU, telah merencanakan perantaian kehadapan untuk menyediakan lebih banyak set data yang berkualiti, menggalakkan orang awam dan komuniti membangunkan aplikasi menggunakan data terbuka, menggalakkan sektor swasta memuat naik set data ke dalam Portal Data Terbuka dan mensasarkan kedudukan 30 terbaik di dalam penilaian peringkat global pada tahun 2020.

Secara amnya, inisiatif data terbuka mempunyai potensi yang besar untuk menggalakkan pertumbuhan inovasi baharu melalui pembangunan aplikasi atau use case yang berguna oleh rakyat dan untuk rakyat. Di samping itu perkongsian data terbuka telah menunjukkan ketelusan pihak Kerajaan dan ia dijangka dapat menjimatkan kos Kerajaan di dalam pembangunan aplikasi sistem penyampaiannya.

Sesi libat urus dengan agensi kerajaan dan industri kolaboratif bersama Open Data Institute (ODI)

 

Seminar Program Penilaian Kesediaan Data Terbuka Kolaboratif bersama World Bank

Sesi Libat Urus bersama-sama agensi dan industri kluster pengangkutan

Sesi Libat Urus bersama-sama agensi dan industri kluster pertanian