Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menyemarakkan lagi pelaksanaan inisiatif Data Terbuka dengan menjadikan penerbitan set Data Terbuka sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Generik bagi Penilaian Prestasi Penjawat Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam (PPTPA) pada tahun 2018. Sasaran KPI tersebut adalah sebanyak 10,000 set data baharu diterbitkan dalam portal data.gov.my bagi semua Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Sasaran KPI tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Aplikasi Perdana MSC Malaysia (FCC) Ke-43 yang dipengerusikan oleh YBhg. Ketua Setiausaha Negara pada 12 Oktober 2017.
Bagi membantu pihak Kementerian dan Pejabat SUK dalam merealisasikan pencapaian KPI penerbitan 10,000 set data baharu, MAMPU telah merancang tiga (3) strategi pelaksanaan iaitu:
a. Meningkatkan kesedaran KPI dan perkongsian Data Terbuka di kalangan agensi.
b. Memantapkan peranan dan kompetensi Peneraju/Agen Data Terbuka.
c. Meningkatkan kualiti dan kuantiti Data Terbuka.
Susulan itu, MAMPU telah mengadakan beberapa siri libat urus kepada semua Kementerian dan Pejabat SUK mengikut lima (5) zon iaitu Zon Tengah, Utara, Timur, Sabah/Sarawak dan Selatan.
Sesi Libat Urus Zon Tengah kepada semua Kementerian dan Pejabat SUK Selangor dan Negeri Sembilan telah berlangsung di Putrajaya pada 26 Mac 2018.
Sesi Libat Urus Zon Utara kepada Pejabat SUK Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang telah berlangsung di Pejabat SUK Kedah, Alor Setar pada 2 April 2018.
Sesi Libat Urus Zon Timur kepada Pejabat SUK Terengganu, Pahang dan Kelantan telah berlangsung di Pejabat SUK Terengganu pada 17 April 2018.
Sesi Libat Urus Zon Sabah-Sarawak kepada Pejabat SUK Sarawak dan Sabah telah berlangsung di Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan, Sarawak pada 25 April 2018.