Ketelusan dan akauntabiliti

20 May 2017


Data terbuka adalah data yang diperoleh secara percuma untuk digunakan, penerbitan semula data-data dan tiada sekatan daripada hak cipta dan paten. Di antara sebab utama data-data tersebut dibuka adalah bagi mempromosikan ketelusan di peringkat Kerajaan. Dengan wujudnya ketelusan di dalam pembukaan data-data, ia seterusnya akan meningkatkan akauntabiliti kerajaan di dalam mentadbir sesebuah negara.


Data terbuka di peringkat kerajaan akan menyokong integrasi dasar dan penyelarasan institusi dengan meningkatkan perkongsian data merentasi kementerian dan agensi-agensi di bawah kerajaan. Ia juga akan meningkatkan keberkesanan kerajaan bagi mengharungi cabaran pembangunan yang kompleks dari pelbagai dimensi.


Bagi memudahkan pencarian data, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan portal data.gov.my bagi membolehkan rakyat untuk menggunakan data-data di dalam portal dan mencampur data-data lain yang boleh akses secara percuma di atas talian. Ini secara tidak langsung akan membawa kepada perkhidmatan yang baharu, inovasi dan meningkatkan peluang ekonomi dengan penciptaan pelbagai applikasi mudah alih yang dibangunakn berdasarkan data-data di dalam portal.


Dalam mempromosikan tahap ketelusan dan akauntabiliti sesebuah kerajaan, World Wide Web Foundation telah memperkenalkan Open Data Barometer (ODB) bagi mengenal pasti setiap pelaksanaan melalui kriteria Implementation, Impact dan Readiness. Pada tahun 2015, Malaysia telah menduduki tangga yang ke 51 berdasarkan kepada penilaian ODB berbanding di kedudukan  yang ke 41 pada tahun 2014. Di antara permasalahan utama kejatuhan ini adalah terdapatnya beberapa data yang dikategorikan zero dataset. Zero dataset di sini merujuk kepada ketiadaan data di dalam kluster-kluster yang telah dikategorikan oleh World Wide Web.


Kompilasi maklumat terperinci kedudukan Malaysia di dalam ODB.

Antara kluster yang mempunyai zero dataset adalah seperti yang berikut:


1. Statistik Jenayah

2. Pendaftaran syarikat

3. Keputusan pilihanraya

4. Perundangan

5. Kontrak awam

6. Data pemilikan tanah

Bagi meningkat ketelusan dan akauntabiliti, beberapa langkah telah diambil bagi mengatasi permasalahan tersebut, iaitu melalui libat urus dengan kementerian dan  agensi-agensi di bawah kerajaan bagi mendapatkan data-data yang dikategorikan sebagai  zero dataset tersebut. Kebanyakan data-data di bawah kluster yang mempunyai zero dataset adalah sulit dan maklumat terperingkat.


Walau bagaimanapun, atas usaha libat urus bersama kementerian dan agensi di bawah kerajaan, data-data yang tidak tertakluk kepada data-data sulit dan maklumat terperingkat bagi setiap kluster tersebut telah diklasifikasikan sebagai data terbuka dan ianya telah dimasukkan ke dalam portal Data Terbuka.


Pada tahun 2017, tiada lagi zero dataset bagi setiap kluster yang terlibat dan seterusnya dengan ketiadaan zero dataset ini, ianya secara tidak langsung akan meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti pihak kerajaan dan seterusnya dapat meningkatkan kedudukan negara di dalam ranking ODB.