Data terbuka berupaya menjadi sumber tenaga (fuel) yang baru bagi kegiatan ekonomi. Perkongsian data terbuka boleh membuka peluang kepada pihak swasta atau individu bagi mencipta produk berinovasi yang dapat menjana pendapatan mereka dan memberi kemudahan perkhidmatan yang baru kepada rakyat. Berbagai produk boleh dibangunkan hasil dari perkongsian data terbuka di Malaysia, sebagai permulaan kerajaan telah menganjurkan dua (2) program hackathon iaitu pada tahun 2015 dan 2016. Program hackathon tersebut merupakan pertandingan membangunkan aplikasi atau produk dengan menggunakan data terbuka kerajaan. Hackathon pada tahun 2015 telah berjaya menghasilkan sebanyak 52 produk dan 38 produk pada tahun berikutnya. Ini membuktikan bahawa melalui program hackathon berupaya menghasilkan berbagai produk yang boleh dimajukan lagi di pasaran untuk aktiviti ekonomi yang menguntungkan.
Sebagai contoh, sebuah syarikat telah berjaya membangunkan aplikasi mudah alih dengan menggunakan data terbuka yang diberi nama WRZiT. Aplikasi ini dilancarkan pada bulan 25 Mei 2017 sempena Hari Data Terbuka 2017. Aplikasi ini memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengetahui jadual dan laluan perjalanan bas di Lembah Klang. Selain orang ramai terutama pengguna bas mendapat kemudahan dari aplikasi ini, pihak syarikat tersebut sudah semestinya dapat menjana pendapatan dari aktiviti penggunaan produk yang mereka hasil.