Hari Data Terbuka

20 May 2017


Bagi merangsang momentum pelaksanaan inisiatif data terbuka,   MAMPU akan secara berterusan menganjurkan pelbagai program sebagaimana yang telah dikenal pasti dalam Strategi Data Terbuka untuk memupuk, menyemarakkan, melestarikan dan membudayakan inovasi data terbuka sebagai manifestasi kesediaan Kerajaan.

Antaranya adalah mengadakan Hari Data Terbuka 2017 yang merupakan program yang julung kali diadakan dan diyakini akan memberi impak yang signifikan dalam penggunaan Data Terbuka Kerajaan kepada semua lapisan masyarakat sama ada dari dalam dan luar negara bagi memperkasa Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan. Pada masa yang sama, program ini merupakan suatu manifestasi inovasi data terbuka di mana komuniti/syarikat baharu (startup) dapat menghasilkan inovasi aplikasi mudah alih untuk dimanfaatkan oleh orang awam/rakyat dengan menggunakan Data Terbuka Kerajaan yang sebahagiannya diterbitkan oleh industri.  Program ini juga membuktikan kuasa Data Terbuka untuk menyemarakkan inovasi  dan merealisasikan inisiatif kerajaan dalam mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan rakyat.

Program Hari Data Terbuka 2017 ini akan diadakan pada 25 Mei 2017 bertempat di Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya (UM) dan akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri (TPM). Program ini merupakan anjuran MAMPU yang dilaksanakan secara kolaboratif dengan rakan strategik seperti Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat Prasarana, Syarikat WRZiT dan sebagainya.

Di samping itu, program Hari Data Terbuka 2017 yang bertemakan  #JOMKONGSIDATA ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kesediaan pelbagai pihak dalam perkongsian data terbuka kerajaan di samping menanda aras inisiatif kita dengan amalan terbaik di peringkat global ke arah meningkatkan kedudukan negara kita di peringkat global.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri akan merasmikan Hari Data Terbuka 2017 pada Khamis 25 Mei 2017 bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Program Hari Terbuka 2017 yang berlangsung selama satu (1) hari ini mengandungi dua komponen/sesi. Sesi pagi merupakan program Big Splash Data Terbuka dan sesi petang adalah program Seminar Data Terbuka.