Menyokong Budaya Berinovasi

20 May 2017


Program Hackathon adalah salah satu program dirancang di bawah pelaksanaan Data Terbuka  ke arah merealisasikan Perkhidmatan Digital Sektor Awam.

Program Hackathon ini adalah satu pertandingan pembangunan aplikasi dengan menggunakan set data yang diterbitkan di dalam Portal Data Terbuka (data.gov.my) sebagai data asas di samping menggunakan sumber data lain. Program ini juga telah memberi peluang kepada peserta menguji bakat dan kreativiti berdasarkan kemampuan masing-masing sehingga terciptanya satu produk data yang inovatif, analitis data atau aplikasi mudah alih yang dapat diperluaskan untuk kegunaan rakyat. Peserta program Hackathon 2016 terdiri dari kalangan penjawat awam, industri, universiti awam dan pelajar sekolah menengah.

Program Hackathon Data Terbuka bertujuan untuk:

  • Menyediakan ruang perkongsian ilmu ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan digital.
  • Mempromosikan produk/inisiatif digital perkhidmatan awam.
  • Menggalakkan penglibatan penjawat awam, akademia, usahawan, pelajar sekolah dan rakyat dalam membangunkan produk inovasi menggunakan Data Terbuka.

Pada tahun 2015, MAMPU dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM), GITN Sdn Bhd (GSB) dan Multimedia Development Corporation (MDEC) mencipta sejarah dengan mengadakan Hackathon Data Terbuka yang berlangsung secara berterusan selama 33 jam bertemakan 'Terbuka, Inovatif, Mencipta'. Program Hackathon ini merupakan pertandingan pembangunan aplikasi dengan menggunakan data terbuka. Pertandingan Hackhathon 2015 telah disertai oleh 52 kumpulan yang terdiri daripada 168 peserta. Hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 ditawarkan kepada pemenang dan diumumkan semasa Pameran dan Forum Perkhidmatan Digital Kerajaan 2015 yang diadakan pada 8 Oktober 2015.

Pada tahun 2016, MAMPU sekali lagi menganjurkan pertandingan Hackathon Data Terbuka yang berlangsung secara berterusan selama 48 jam dari 25 hingga 27 Oktober 2016 bertemakan “Unleashing The Power of Open Data for Innovation”. Pertandingan berkenaan disertai 38 kumpulan yang membabitkan 132 peserta, terdiri daripada tiga kategori iaitu penjawat awam dan industri, universiti awam serta pelajar sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), GITN Sdn Bhd (GSB) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC). Keputusan hackathon yang diumumkan bersama-sama dengan majlis penyampaian hadiah pada 22 November 2016. Hadiah wang tunai RM10,000 ditawarkan bagi pemenang tempat pertama kategori penjawat awam dan industri serta Universiti Awam, manakala RM3,000 bagi kategori sekolah menengah.

Antara outcome/impak program hackathon adalah seperti berikut:

  • Membangunkan aplikasi dengan menggunakan data terbuka dan Portal Data Terbuka yang akan digunakan oleh semua sektor sama ada daripada sektor swasta atau awam untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
  • Melahirkan idea baharu yang kreatif dan inovatif dalam usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan data yang telus, mampan dan lengkap.
  • Mencipta aplikasi yang mudah, menarik dan inovatif bagi kegunaan rakyat.

Program Hackathon tidak berhenti setakat ini malah, pemenang berpeluang untuk ditawarkan menyertai Program MSC BDA Accelerator anjuran MDEC.  Program MSC BDA Accelerator ini bertujuan untuk menambah baik aplikasi yang dibangunkan dengan mentorship dari pihak industri.  Pemenang juga berpeluang memasuki pusingan akhir National Big App Challenge bersama-sama pemenang pertandingan lain untuk meraih hadiah utama ke United Kingdom untuk mendalami ekosistem startup di sana.

Program Hackathon ini merupakan suatu mekanisme untuk mencungkil bakat, mengenal pasti aplikasi yang boleh dibangunkan untuk kegunaan rakyat dan mengenal pasti set data yang diperlukan untuk dimuat naik ke dalam Portal Data Terbuka (data.gov.my).