Meningkatkan Ketersediaan

20 May 2017


Malaysia telah melaksanakan Program Open Data Readiness Assessment (ODRA) secara kolaboratif dengan pihak Bank Dunia Group (World Bank Group) bermula dari 15 Julai 2016 sehingga 31 Januari 2017. ODRA merupakan satu metodologi penilaian kesediaan Data Terbuka yang dibangunkan oleh pihak Bank Dunia bagi menjalankan penilaian berorientasikan tindakan (action-oriented assessment) terhadap kesediaan sesebuah negara dalam menilai, mereka bentuk dan melaksanakan inisiatif Data Terbuka. Hasil dari ODRA membolehkan pemahaman terhadap lanskap data dan tahap kesediaan negara dalam lapan (8) aspek ekosistem Data Terbuka iaitu kepimpinan, polisi/kerangka undang-undang, institusi, aplikasi dan co-creation, pembangunan keupayaan, libat urus rakyat, pembiayaan inovasi dan  teknologi/infrastruktur. Malaysia amat berbangga menjadi negara ASEAN yang pertama melaksanakan penilaian dengan menggunakan metodologi penilaian ODRA.

Program ODRA yang telah dilaksanakan dengan pihak Bank Dunia Group bersama dengan MAMPU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah merupakan salah satu daripada program libat urus bersama-sama dengan agensi sektor awam, industri, akademia dan badan bukan kerajaan. Aktiviti yang terkandung dalam Program ODRA adalah merangkumi Seminar ODRA dan  Sesi Temu Bual pelbagai pihak bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan pelaksanaan Data Terbuka di tanah air, peringkat antarabangsa melalui penglibatan secara langsung dengan pakar Data Terbuka daripada Bank Dunia.

Program ODRA telah melibatkan menteri kabinet iaitu YB Datuk Joseph Entulu Anak Belaun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi merasmikan Seminar ODRA yang berlangsung di Auditorium, Aras G, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada 2 November 2016. Seminar tersebut telah  dihadiri oleh 309 orang peserta yang terdiri daripada wakil kementerian/agensi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, industri, akademia, badan bukan kerajaan dan orang awam. Seramai 192 orang responden telah terlibat di dalam Sesi Temu Bual yang terdiri dari pemegang taruh agensi sektor awam, industri, akademia dan badan bukan kerajaan telah diadakan selama 6 hari, bermula pada 31 Oktober 2016 sehingga 8 November 2016.    

Aktiviti ODRA juga meliputi desk review undang-undang dan dokumen lain berdasarkan metodologi standard yang dibangunkan oleh Bank Dunia dan diadaptasikan untuk menilai tahap kesediaan negara dalam Data Terbuka dalam konteks Malaysia.  

Program ODRA dapat membantu mengenal pasti ketersediaan Malaysia dalam melaksanakan inisiatif data terbuka dan seterusnya merangka pelan tindakan yang lebih sistematik dan efektif berdasarkan cadangan laporan ODRA. Melalui bantuan pakar dari Bank Dunia ini, kerajaan akan mendapat manfaat potensi perkongsian Data Terbuka dengan tercipta lebih banyak inovasi produk baharu untuk kegunaan dan kesejahteraan rakyat.